MERDEKA CLEAR STOCK!!!! START 10.08.2020 UNTIL 31.08.2020
Cart 0

7 Idea Baju Melayu Untuk Majlis Bersanding

7 Idea Baju Melayu Untuk Majlis Bersanding

Hari persandingan tentunya satu hari yang ditunggu-tunggu dan salah satu hari paling istimewa dalam hidup seorang lelaki.

Apa tidaknya, selepas melalui tempoh berjanji temu yang panjang akhirnya dapat juga bersama dengan yang tersayang dengan restu saudara-mara dan sahabat-handai.

Tetapi bagi kebanyakan orang, ia tidaklah sebegitu mudah atau ringkas. Persediaan kenduri perlu diuruskan, tetamu perlu dijemput, catering juga perlu dicari.

Bersanding pula mahu pakai apa? Kalau tradisional sangat nanti orang kata terlebih biasa, kalau moden sangat nanti orang kata terlebih berani.

Jangan risau sangat. Di sini ada tujuh tips untuk membantu anda mencari baju bersanding yang sesuai.


1. Baju Sanding Serba Putih

Secara ringkasnya, baju sanding serba putih adalah salah satu pilihan paling popular di antara para pengantin baru.

Bukanlah semestinya sebab ia adalah warna yang tulen atau dalam kata orang putih 'pure'. Ia bukanlah disebabkan putih adalah warna 'dara', tetapi kebiasaannya ia dipilih disebabkan orang tak nak pening kepala pilih warna.

Ada kalanya warna hijau di kedai pakaian pengantin tampak menawan, tetapi bila pengantin berjalan di bawah cahaya matahari terik, warnanya tampak seperti lumut kolam.

Sebaliknya, ada warna yang menarik di bawah cahaya matahari, tetapi tampak kusam di tempat teduh seperti pelamin.


Mungkin anda berasa yang putih tampak terlalu 'plain' atau biasa, tetapi tidak perlu begitu.

Anda boleh menyertakan perhiasan seperti kancing lengan, kancing kolar atau butang berhias untuk menghilangkan rasa 'plain' itu.

Atau lebih senang lagi, buat baju sanding songket untuk hari istimewa anda. Ya, bukan baju sanding serba putih lagi, tetapi baju sanding songket serba putih. Tentunya menawan.


2. Baju Sanding Islamik

Baju persandingan bercirikan islamik bukanlah sesuatu yang baru. Ia adalah salah satu pilihan popular di kalangan para pengantin, biasanya untuk memadankan dengan pengantin perempuan.

Pakaian persandingan bercirikan islamik sebenarnya tidak banyak beza dengan pakaian persandingan lain.

Bagi pengantin lelaki, baju sanding islamik biasanya hanya menukarkan tengkolok dengan songkok dan mengelak pemakaian perhiasan dibuat daripada emas atau mutiara.

Ini dianggap salah satu pilihan yang paling selamat kerana tidak banyak perkara yang boleh menyebabkan isu dengan para tetamu.


3. Baju Sanding Tradisi

Mungkin ada pembaca yang tidak mahu lari terlalu jauh daripada idea 'kenduri kahwin melayu tradisi' dan tidak mahu memilih rekaan yang terlebih sofistikated.

Tiada masalah, baju melayu tradisional juga antara pilihan popular di kalangan pengantin sekarang. Baju melayu adalah pakaian yang dianggap selesa bagi kebanyakan pengantin.

Apa tidaknya, duduk di pelamin tu bukan sepuluh minit, ada sesetengahnya sampai sejam. Kalau panas memang berpeluh-peluhlah nanti.


Disebabkan ini sesetengah pengantin memilih baju melayu yang dibuat daripada songket kerana tenunan kapasnya yang terasa lebih sejuk dan sesuai dengan iklim Malaysia yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Tidak seperti kain biasa, peluh tidak muncul dengan begitu ketara di atas baju melayu songket. Oleh itu, pengantin berpakaian baju sanding songket berasa lebih selesa dan selamat duduk di hadapan tatapan para tetamu.


4. Baju Sanding Warna Menarik

Mungkin anda berasa putih terlalu biasa. Mungkin anda mahukan sedikit kelainan.

Maklumlah, kebanyakan kita tidak merancang bersanding lebih daripada sekali. Jadi kalau warna putih tidak cukup bagus, warna apa pula? Ini bergantung kepada pengantin itu sendiri.

Sesetengah pengantin memilih warna-warna pastel. Warna pastel adalah warna-warna yang cerah tetapi lembut yang tidak mencolok mata dan dianggap warna-warna yang selamat.

Antara warna-warna pastel adalah pink, mauve, baby blue, peach, periwinkle dan lavender.

Ada pula yang mahu tampak menonjol dengan warna-warna hangat. Kebiasaannya warna-warna hangat digunakan untuk pelamin di tempat teduh seperti dalam rumah kerana ia dianggap terlampau cerah di bawah cahaya matahari terik.

Bagi memastikan pengantin tampak menyerlah di bawah cahaya dengan keamatan rendah daripada mentol lampu, warna-warna hangat seperti, merah, kuning dan jingga dianggap lebih sesuai.


Ada sesetengah pula lebih gemarkan warna-warna sejuk. Warna-warna sejuk kerap digambarkan sebagai warna-warna yang nyaman dan menenangkan.

Ia sesuai sekiranya pengantin tidak mahu pakaian mereka tampak terlalu menonjol atau menyerlah.

Walaupun terdapat risiko ia tampak kusam di bawah cahaya yang lemah, ia juga berupaya menyerlahkan penampilan pengantin itu sendiri berbanding pakaian pengantin tersebut. Warna-warna sejuk termasuk biru, hijau, dan ungu.


5. Baju Sanding Blazer

Mungkin baju sanding blazer bunyinya agak pelik bagi sesetengah orang. Tidak perlu risau, baju sanding blazer ini sebenarnya tidak banyak beza dengan baju sanding biasa.

Ia adalah baju sanding biasa, tetapi dengan blazer dipakai di atasnya. Ia membuatkan pemakai tampak ‘chic’ dan anggun berbanding baju melayu biasa.

Lagi gedegang lagi apabila anda memakai baju sanding songket kemudian dipakai pula blazer songket di atasnya. Memang mengancam!

Tetapi dirisaukan pula isteri anda akan rasa terancam dengan ketampanan melampau anda di hari persandingan.


6. Baju Sanding Cekak Musang

Baju melayu cekak musang adalah sejenis baju melayu dengan kolar yang tinggi. Biasanya baju melayu jenis ini ada lima kancing, dua kancing di kolar dan tiga kancing di bawahnya.

Ia semakin mendapat tempat di kalangan jejaka tempatan disebabkan keanggunannya. Biasanya ia dipadankan dengan pengantin perempuan yang memakai pakaian sanding kebaya, gaun atau baju kurung berenda.

Walaupun terdapat trend di kalangan selebriti dan model pakaian pengantin di mana mereka memakai baju sanding cekak musang berwarna putih yang 'plain', ia bukanlah satu-satunya pilihan.

Anda juga boleh memilih warna-warna lain yang dirasakan padan dengan tona kulit atau pencahayaan dewan. Anda juga boleh membuat baju sanding songkek cekak musang jika anda mahukan sedikit kelainan.


7. Baju Sanding Moden

Baju sanding moden bukanlah satu jenis baju persandingan. Secara ringkasnya, ia adalah sebarang rekaan reaksi yang memberikan nafas baru bagi menyerlahkan keanggunan dan kekacakan pemakainya.

Biasanya baju sanding moden dijahit tanpa pesak dan direka secara slim-fit untuk kelihatan segak dan kemas.

Baju sanding songket moden adalah pilihan pengantin-pengantin muda yang memiliki tubuh badan menarik. Ia biasanya dipadankan dengan gaun perkahwinan atau kebaya berciri moden.


Bagi kebanyakan kita, bersanding hanya berlaku sekali dalam seumur hidup. Jadi tentulah kita mahukan yang terbaik bagi hari kebesaran kita.

Tidak kira apa pilihan anda, diharapkan artikel ini dapat membantu anda dalam memilih baju sanding yang sesuai untuk anda. Jenis apakah yang menarik minat anda?



Older post Newer post